Kisah Nabi Ibrahim dibakar hidup-hidup

Sejarah Makkah ini bermula dengan kisah Nabi Ibrahim (as), seorang hamba Allah s.w.t yang telah dilahirkan di Kutha dalam kerajaan Babylon (juga dikenali sebagai Al-Warka, sekarang ini dikenali sebagai Iraq). Pada awalnya, baginda menetap di sebuah negeri bernama Chaldean, di sebuah bandar bernama Ur yang terletak di selatan Babylon, di tebing Sg. Furat (Euphrates). Ayah baginda bernama Azar bin Sam bin Nuh. Nama penuh ayah baginda ialah Tarikh bin Sam bin Nuh, tetapi terkenal dengan nama Azar kerana pekerjaan hariannya ialah membuat patung yang dijadikan sembahan oleh puak Quraisy.

 

Terdapat pendapat lain mengatakan bahawa baginda dilahirkan pada tahun 2295 sebelum Masihi di negeri Mausul pada zaman Raja Namrud. Raja Namrud merupakan seorang raja yang memerintah di negara Babylon. Pada masa itu, kerajaan Babylon menguasai wilayah yang sangat luas. Empayar kekuasaannya termasuk negara Iraq, Syria, Jordan dan Palestin. Raja Namrud ialah seorang raja yang sangat kejam dan mengakui dirinya sebagai Tuhan. Semua kaum raja Namrud menyembah berhala, sedangkan Nabi Ibrahim (as) menyembah Tuhan yang Esa.

 

Pada satu malam, Raja Namrud bermimpi. Dalam mimpi tersebut, terdapat seorang anak lelaki masuk ke dalam biliknya dan meragut mahkota di kepalanya, kemudian memijakmijak mahkota itu sehingga hancur. Namrud pun memanggil ahli-ahli nujumnya untuk mentafsirkan maksud mimpi tersebut. Menurut tafsiran mereka, akan lahir di Babylon seorang anak lelaki yang akan melawan Namrud dan menjatuhkannya dari takhta kerajaannya. Tafsiran ahli nujum itu menakutkan Namrud, maka Namrud mengeluarkan perintah bahawa semua bayi lelaki di Babylon mesti dibunuh.

 

Pada masa itu, ibu Nabi Ibrahim (as) sedang hamil. Bagi menyelamatkan anaknya, dia bersembunyi di dalam sebuah gua dan tinggal di sana sehinggalah bayinya selamat dilahirkan. Bayi itu diberi nama Ibrahim. Sejak kecil lagi, Nabi Ibrahim (as) telah mendapat petunjuk dan hidayah dari Allah s.w.t. Apabila Nabi Ibrahim (as) melihat keadaan orang-orang yang menyembah patung-patung berhala, timbul pertanyaan di hatinya, bagaimana satu benda yang dibuat dan diukir dari kayu, logam dan sebagainya dijadikan sembahan manusia, padahal patung-patung itu tidak boleh melihat, mendengar, berbicara mahupun untuk memberi pertolongan kepada mereka yang menyembahnya.

 

Allah s.w.t memberi petunjuk dan bimbingan kepada Nabi Ibrahim (as) dengan diturunkan wahyu kepadanya. Lama kelamaan, baginda mula mengenali Allah s.w.t, tuhan sekalian alam. Baginda kemudiannya diutuskan menjadi pesuruh Allah s.w.t bagi membimbing kaumnya ke arah jalan yang benar. Nabi Ibrahim (as) mula menyeru umatnya supaya menyembah Allah s.w.t. Baginda mula berhujah di hadapan kaumnya dengan hujah-hujah yang logik dan bernas. Baginda menghina patung-patung sembahan di hadapan kaumnya. Hal ini dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya:

 

Maksudnya: Ia berkata: “Sesungguhnya kamu dan datuk nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata”.

(Al-Quran, Al-Anbiya’ 21: 54)

 

Hal ini juga telah dibahaskan oleh baginda ketika berhujah dengan kaumnya melalui firman Allah s.w.t:

 

Maksudnya: “Patutkah kamu menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah, kerana kamu memutar belitkan kebenaran semata-mata (bukan kerana benarnya)? Maka bagaimana fikiran kamu pula terhadap Allah Tuhan sekalian alam?”

(Al-Quran, Al-Saffat 37: 86-87)

 

Lalu kaumnya mula berdebat dengannya dengan menyuarakan beberapa pertanyaan antaranya firman Allah s.w.t:

 

Maksudnya: Mereka bertanya: “Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar (sebagai seorang Rasul), atau engkau dari orang-orang yang bermain-main sahaja?”

(Al-Quran, Al-Anbiya’ 21: 55)

 

Mereka menyangkal kerasulan Nabi Ibrahim (as) dengan pelbagai pertanyaan dan alasan. Nabi Ibrahim (as) menjawab pertanyaan kaumnya sambal mengancam untuk menghancurkan berhala-berhala sembahan mereka sebagaimana firman Allah s.w.t:

 

Maksudnya: Ia menjawab: “(Bukan bermain-main) bahkan (untuk menegaskan bahawa) Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dia lah yang menciptanya; dan aku adalah dari orang-orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian itu. Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala ini)”. Lalu ia memecahkan semuanya berketulketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya.

(Al-Quran, Al-Anbiya’ 21: 56-58)

 

Apabila tiba masa yang sesuai, Nabi Ibrahim (as) pergi ke tempat sembahan kaumnya lalu baginda memecahkan patung-patung berhala dengan kapak yang berada di tangannya. Baginda menghancurkan semua patung-patung kecil dan membiarkan patung yang paling besar serta menyangkutkan kapak pada patung yang besar. Apabila kaumnya kembali untuk menyembah patung-patung berhala tersebut, mereka terperanjat dan terkejut apabila melihat kesemua patung-patung sembahan mereka hancur berselerakan di atas lantai. Lalu mereka bertanya sesama sendiri, siapakah yang melakukan kerja tersebut.

 

Di antara mereka berkata, “Kami dengar ada seorang pemuda yang mencela berhala-berhala ini, namanya ialah Ibrahim”. Lalu diajukan perkhabaran ini kepada Raja Namrud. Dengan perasaan yang sangat marah, Namrud mengarahkan Ibrahim dibawa di penghadapan semua rakyat. Lalu mereka bertanya kepada Nabi Ibrahim (as). Firman Allah s.w.t:

 

Maksudnya: Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya: “Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?”

(Al-Quran, AlAnbiya’ 21: 62)

 

 

Nabi Ibrahim (as) menjawab:

 

Maksudnya: Ia menjawab: “(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau- kalau mereka dapat berkata-kata”.

(Al-Quran, Al-Anbiya’ 21: 63)

 

Kemudian mereka menundukkan kepala seperti orang yang sedang malu. Ini dinyatakan dalam firman Allah s.w.t:

Maksudnya: Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: “Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?”

(Al-Quran, Al-Anbiya’ 21: 65)

 

Nabi Ibrahim (as) mencelah dengan mengatakan bahawa mengapakah kaumnya masih hendak menyembah berhala yang mereka buat sendiri dengan tangan-tangan mereka sedangkan mereka mengetahui bahawa berhala-berhala tersebut tidak dapat memberi manfaat atau mendatangkan sedikit pun kemudaratan. Allah s.w.t. berfirman:

 

Maksudnya: (Bagi menjawab bantahan mereka), ia berkata: “Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat? “Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!”.

(Al-Quran, Al-Saffat 37: 95-96)

 

Raja Namrud dan pembesar lain merasa sangat marah apabila melihat perbuatan Nabi Ibrahim (as) yang menurut mereka sangat keterlaluan. Mereka membuat keputusan untuk membakar Nabi Ibrahim (as) hidup-hidup sebagai pengajaran atas tindakannya yang menghina dan menghancurkan tuhan-tuhan mereka. Raja Namrud mengarahkan para pengikutnya supaya mengumpulkan kayu-kayu api untuk membakar Nabi Ibrahim (as). Setelah kayu-kayu api dikumpulkan di tempat yang disediakan untuk upacara pembakaran, maka semua rakyat Raja Namrud datang beramai-ramai untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman ke atas Nabi Ibrahim (as).

 

Setelah unggun api dibakar, mereka mencampakkan Nabi Ibrahim (as) ke dalamnya. Allah s.w.t menyelamatkan Nabi Ibrahim (as) dari sebarang malapetaka, di mana Allah s.w.t menyeru supaya api tersebut menjadi sejuk dan nyaman sehingga tidak dapat membakar tubuh Nabi Ibrahim (as). Nabi Ibrahim (as) selamat dalam unggun api yang besar tanpa merasa panas sedikit pun. Apabila api sudah padam, Nabi Ibrahim (as) keluar dengan selamat. Rakyat jelata berasa hairan dengan kejadian tersebut. Sesetengah daripada mereka terus beriman dengan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim (as) dan sebahagian besar yang lain masih berada dalam kekufuran.

 

 

Sumber Rujukan

Zain, F. M., & Kamaruzaman, K. N. (n.d.). Sejarah Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim (AS) dan Nabi Ismail (AS) [The History of The Construction of The Ka’ba by Prophet Ibrahim (PBUH) and Prophet Ismail (PBUH). Deleted Journal, 23(3), 148–165. https://doi.org/10.37231/jimk.2022.23.3.702

 

Share this article :
Facebook
WhatsApp
Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *