HALA TUJU PENDIDIKAN
AKADEMI DARUL ILMI

Kurikulum Akademi Darul Ilmi disusun sendiri oleh Pengasas Akademi, al-Fadhil Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub. Di samping, para pelajar menghafaz al-Quran, Hadis dan Tafaqquh Fiddin, mereka juga akan mengikuti Sistem Pendidikan semasa untuk membolehkan mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Seterusnya akan menamatkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Tinggi Islam dan Sijil Prinsip Fatwa.

 

Akademi Darul Ilmi menyediakan prasarana pendidikan dan iklim pembelajaran yang kondusif berasaskan al-Quran, Hadis Nabi S.A.W. dan cabang-cabang ilmu Islam. Akademi Darul Ilmi mula mengambil pelajar berusia 11 tahun. Pada Tahun 1 dan 2, para pelajar akan mula menghafaz 30 juzuk Kitab Suci al-Quran mengikut sistem yang disusun sendiri oleh Panel Penyusun Sistem Hafazan Akademi Darul Ilmi.

 

Seterusnya, pelajar-pelajar akan menghafaz 1 000 matan hadis daripada Kitab Matan Arbain, al-Bulghah, Mukhtasar Sahih Muslim selama empat tahun. Dalam masa yang sama, Sesi Pengajian Kitab Tafaqquh Fiddin berlangsung dengan pengajian matan-matan induk seperti Tauhid, Fiqh, Tasawuf, Tafsir, Nahu, Saraf, Usul Fiqh, Lughah, Musthalah, Sirah dan lain-lain lagi selama 4 tahun.

 

Kemudian, para pelajar akan membuat persiapan bagi menduduki Peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) selama setahun. Pelajar akan diberikan bimbingan dalam subjek-subjek dan juga Subjek Diniah mengikut kurikulum semasa yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pada tahun ke 8 hingga tahun ke 12 pengajian, para pelajar akan menyambung pengajian di peringkat Ijazah (Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam & Sijil Prinsip Fatwa) yang diiktiraf oleh institusi Pendidikan sama ada di luar atau dalam negara yang akan dimeterai melalui MOU kelak.