PENGASAS AKADEMI DARUL ILMI

Al-Fadhil Ustaz Mohamad Wadi Anuar Ayub

Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Wadi telah dilahirkan pada tanggal 20 September 1983 di Kota Kuala Muda, Kedah. Ustaz Wadi mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Al Islah dan Maktab Mahmud Alor Setar. Bakat kepimpinan beliau terserlah sejak di bangku sekolah lagi. Ustaz Wadi Annuar bergiat aktif dalam kegiatan dakwah sebagai seorang Penceramah Bebas dan juga memberikan sumbangan kebajikan sesama muslim. Antara syarahan beliau yang mendapat perhatian masyarakat adalah Kisah Akhir Zaman, Mahsyar, Syurga & Neraka serta Sirah Rasulullah.


Ustaz Wadi mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam pelbagai bidang. Selepas tamat pengajian di Syria, Ustaz Wadi Annuar pernah berkhidmat dalam bidang pendidikan dan juga bergiat aktif menyampaikan ceramah di dalam dan luar negeri. Beliau pernah berkhidmat sebagai Guru Sekolah Menengah, Swasta dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Beliau juga pernah menubuhkan sebuah Maahad Tahfiz yang dikenali sebagai Maahad Tahfiz Al Annuar yang bertempat di Taman Ria Jaya, Sungai Petani.


Selain itu, Ustaz Wadi juga telah dijemput oleh pelbagai stesen televisyen bagi menyampaikan ceramah seperti Panel Jemputan rancangan Al-Kuliyyah TV3, Selebriti TV Al-Hijrah dalam rancangan Semusim Di Barzakh, Juri Pentas Akhir Akademi Daei Muda YADIM, Panel rancangan Akhir Dunia (10 Episod) Astro OASIS dan Penceramah Jemputan rancangan Riwayat Akhir Zaman (9 Episod) di TV Al-Hijrah. Bukan itu sahaja, Ustaz Wadi juga pernah menulis sebuah buku yang berjudul “Andai Umat Ini Hidup Seperti Saidina Umar”. Terkenal dengan syarahannya yang memberi kesan, Ustaz Wadi Annuar telah mencuri perhatian masyarakat dan mendapat jemputan daripada masjid-masjid besar negeri. Antaranya ialah Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Negeri Sultan Abdul Aziz Shah Alam, Masjid Al-Bukhari, Alor Setar Kedah, Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Masjid Al Falah USJ 9, Masjid At – Taqwa Bertam Indah, Masjid Sultan Ahmad Shah, Masjid Sultan Abidin Terengganu dan Masjid Syeikh Abdullah Fahim Pulau Pinang.


Kini, nama Ustaz Wadi Annuar telah menjadi sebutan di seluruh Malaysia dari pelbagai kelompok masyarakat. Beliau juga sering mendapat jemputan ceramah daripada pelbagai agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, universiti, syarikat kerajaan & swasta, masjid negeri dan stesyen televisyen. Bukan itu sahaja, sosial media Ustaz Wadi Annuar juga telah mencapai 1 juta pengikut di laman sesawang Facebook, 913,000 mengikut di Instagram, 1.4 juta pengikut di TikTok manakala 560,000 pelanggan di YouTube. “Niat kerana Allah, dunia dapat akhirat pun dapat” kata-kata ini seringkali dititipkan oleh Ustaz Wadi Annuar dalam siri ceramah beliau. Diharapkan agar Al Fadhil Ustaz sentiasa diberi kekuatan, kesihatan baik dalam membimbing umat akhir zaman yang semakin goyah iman dan kefahaman agama mereka.

AL-FADHIL USTAZ MOHAMAD WADI ANNUAR AYUB

 

Pengerusi & Pengetua
Akademik Darul Iftak