Dewasa ini kita sering didedahkan di dada akhbar tentang perilaku sumbang mahram, perlakuan seks luar tabi’e dan kes rogol yang bukan sahaja melibatkan orang luar tetapi keluarga sendiri. Kejadian “haruan makan anak” adalah kes yang lumrah hingga tidak menimbulkan perasaan gerun,marah,simpati dalam diri masyarakat. Antara faktor terjadinya perkara di atas, adalah pengabaian kaum hawa dalam perkara-perkara yang melibatkan tentang aurat mereka. Ini ditambah lagi dengan pengaruh asing dalam dunia fesyen yang mudah mempengaruhi kaum wanita hingga meminggirkan soal-soal agama.
Islam tidak menolak fesyen, tetapi garis panduan syarak perlu diletakkan sebagai keutamaan dalam semua keadaan. Dengan kreativiti pereka fesyen yang mempunyai roh Islam, pakaian wanita seperti jubah tetap menarik disamping menepati urusan agama dan bersesuaian dengan era moden dan terkini.
Pengorbanan Rasulullah ﷺ Memartabatkan Ketinggian Wanita.
Asas kehormatan seorang wanita yang digariskan oleh Islam adalah aurat, sifat malu dalam pertuturan dan pergaulan serta memelihara faraj daripada zina.
Datangnya Islam ke Tanah Arab membawa peranan yang besar dalam mengubah martabat seorang wanita bukan sahaja di Arab, malah di seluruh dunia. Sebelum kedatangan Islam, wanita menjadi warga kelas kedua di setiap tamadun dunia dan dianggap sebagai objek pemuas nafsu semata-mata.
Tamadun Yunani umpamanya menganggap wanita sebagai alat untuk bersuka-suka dan berfoya-foya. Tamadun Rom pula memberikan hak atas seorang ayah atau suami menjual anak perempuan atau isterinya. Manakala orang-orang Arab sanggup membunuh anak perempuan hidup-hidup dek kerana terbeban dengan pandangan serta perlakuan masyarakat terhadap wanita pada ketika itu.
Cahaya Islam terbit menerangi kegelapan itu melalui risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ. Kemuliaan dan hak wanita diangkat tanpa mengira kedudukan mereka dalam masyarakat sama ada golongan kaya mahupun miskin, bangsawan mahupun tidak. Bukan itu sahaja, setiap wanita dianggap berharga hanya kerana mereka diciptakan sebagai wanita. Wanita diberi kewajipan dan tanggungjawab sesuai dengan fitrahnya.
Di samping itu juga, Islam mempertanggungjawabkan lelaki untuk menjaga wanita, mendidik, memberikan nafkah, serta menjadi ketua keluarga. Kedudukan wanita sebagai ibu diangkat dengan meletakkan syurga dibawah tapak kakinya. Anak perempuan pula yang dididik dengan sempurna mampu menjadi pendinding api neraka bagi kedua ibu bapanya.
Bertitik tolak daripada seruan Islam, masyarakat Arab tidak lagi meletakkan wanita sebagai warga kelas kedua, malah memuliakan wanita dan menjadikan mereka sumber rujukan dalam kehidupan sehari-hari.
Tuntutan Menutup Aurat Mengikut Syarak
Perintah menutup aurat dengan memakai tudung yang labuh menutupi dada, baju yang longgar dan tidak menarik perhatian merupakan landasan yang kuat bagi seorang wanita untuk menjaga kehormatan dirinya.
Dalam hal ini Allah Etelah berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud:
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu,anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
Bukan itu sahaja, Al-Quran dengan jelas menerangkan perkara ini dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud :
” Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”.
Sungguhpun ayat ini ditujukan kepada golongan wanita, namun golongan para lelaki juga tidak terkecuali untuk menutup aurat dengan sempurna. Islam telah menggariskan bahagian aurat bagi lelaki dan perempuan yang tidak seharusnya dipandang enteng oleh umat Islam pada hari ini untuk menutup aurat mengikut syariat.
Sejauh Mana Kita Menyambung Perjuangan Rasulullah ﷺ
Nikmat Islam dan pengorbanan Rasulullah ﷺ memartabatkan ketinggian kedudukan wanita pada hari ini seharusnya dijaga dengan ilmu dan iman. Tanpa ilmu, manusia akan terus terbuai dan terleka dalam kesesatan serta penipuan duniawi. Tanpa iman, manusia akan tidak punya pendirian, dan juga akan menjadi hamba pada keadaan.
Jika tidak kerana Rasulullah ﷺ, tidaklah Islam tertegak di atas bumi ini sehingga tersebar luas ke pelusuk dunia. Jika tidak kerana Rasulullah ﷺ, tidaklah wanita diangkat ketinggian dan martabatnya yang dulu sering direndah-rendahkan dan dihina. Jika tidak kerana Rasulullah ﷺ, tidaklah kita mengenal Allah.
Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama berazam dan berusaha untuk memelihara aurat dan kehormatan dengan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak. Seiring dengan itu juga, akhlak dan keperibadian yang baik juga perlu dipupuk dan diterapkan dalam diri dengan meneladani serta mencontohi keperibadian mulia Rasulullah ﷺ.
Sumber Rujukan :
Jabatan Agama Islam Selangor. (n.d.). Jabatan Agama Islam Selangor. https://www.jais.gov.my/v2/page.php?id=453&k=Zina
Mohtar, M. (2020, January 11). Iffah dan kehormatan wanita. ISMA. https://isma.org.my/iffah-dan-kehormatan-wanita/