Peristiwa Penting Dalam Bulan Syaaban

1.Pemindahan Kiblat dari Baitulmaqdis ke Kaabah

Peristiwa pemindahan kiblat dari Baitulmaqdis ke Kaabah di Mekah berlaku pada 15 Syaaban. Selepas peristiwa Hijrah, umat Islam menunaikan solat menghadap ke arah Baitulmaqdis, kiblat yang turut digunakan oleh kaum Yahudi. Hal ini menyebabkan mereka mengejek umat Islam kerana berkongsi kiblat yang sama.

 

Namun, umat Islam tetap teguh dalam ibadah mereka dan tidak terpengaruh dengan ejekan tersebut. Rasulullah SAW yang prihatin terhadap umatnya berdoa kepada Allah SWT agar kiblat dipindahkan ke Kaabah. Allah SWT kemudian menurunkan firman-Nya dalam Surah al-Baqarah, ayat 144:

 

“Kami melihat wajahmu (Muhammad) sering menengadah ke langit, maka akan Kami palingkan engkau ke kiblat yang engkau senangi. Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. Dan di mana saja engkau berada, hadapkanlah wajahmu ke arah itu. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) tahu, bahawa (pemindahan kiblat) itu adalah kebenaran dari Tuhan mereka. Dan Allah tidak lengah terhadap apa yang mereka kerjakan.”

 

Menurut para ulama, umat Islam menghadap kiblat ke arah Baitulmaqdis selama 17 bulan 3 hari sebelum berpaling ke Kaabah. Pemindahan ini berlaku pada hari Isnin pertengahan bulan Syaaban ketika solat Zohor.

 

2.Penurunan Ayat Perintah Berselawat

Pada bulan Syaaban, Allah SWT menurunkan ayat yang memerintahkan umat Islam untuk berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, seperti yang difirmankan dalam Surah al-Ahzab, ayat 56:

 

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.”

 

Berdasarkan ayat ini, sebahagian ulama menggalakkan umat Islam untuk memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dalam bulan Syaaban.

 

3.Penetapan Kewajipan Berpuasa di Bulan Ramadan

Pada tahun ke-2 Hijrah, Allah SWT menetapkan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan kepada umat Islam, dan ketetapan ini berlaku dalam bulan Syaaban.

 

Pernikahan Rasulullah SAW dengan Saidatina Hafsah binti Umar

Saidatina Hafsah binti Umar merupakan janda kepada Khunais bin Hadafah yang meninggal dunia selepas kembali dari Perang Badar. Rasulullah SAW menikahi Hafsah pada bulan Syaaban tahun ke-3 Hijrah.

 

4.Perang Badar Kedua (As-Sughra)

Selepas Perang Uhud, Abu Sufyan mencabar umat Islam untuk berperang semula di Badar pada tahun berikutnya. Rasulullah SAW bersama 1,500 sahabat, termasuk 10 pahlawan berkuda, tiba di Badar pada bulan Syaaban tahun ke-4 Hijrah untuk menyahut cabaran itu.

 

Namun, Abu Sufyan dan tenteranya seramai 2,000 orang dengan 50 pasukan berkuda berhenti di pertengahan jalan dan kembali ke Mekah kerana khuatir akan menghadapi musim kemarau. Tentera Islam menunggu di Badar selama lapan hari sebelum pulang ke Madinah tanpa sebarang pertempuran.

 

5.Peristiwa al-Ifki

Peristiwa ini berlaku selepas Perang Bani Mustaliq pada tahun ke-6 Hijrah. Abdullah bin Ubay menyebarkan fitnah tentang kecurangan Saidatina Aisyah dengan Safwan bin Mu’aththal.

 

Allah SWT menurunkan Surah an-Nur, ayat 11-13, yang membuktikan bahawa Saidatina Aisyah tidak bersalah dan fitnah tersebut adalah dusta semata-mata.

 

6.Peristiwa Nahrawan

Peristiwa ini berpunca daripada perpecahan pengikut Saidina Ali bin Abi Talib kepada dua kelompok iaitu Syiah dan Khawarij. Dalam pertempuran ini, Saidina Ali menang, tetapi Muawiyah mengangkat al-Quran sebagai tanda perdamaian.

 

7.Perampasan Baitulmaqdis

Dalam Perang Salib Pertama, tentera Kristian berjaya merampas Baitulmaqdis daripada umat Islam pada 13 Syaaban 492 Hijrah (1099 Masihi). Namun, beberapa puluh tahun kemudian, kota suci itu kembali ke tangan umat Islam.

 

Selain peristiwa-peristiwa ini, bulan Syaaban juga menyaksikan kewafatan Sayyidah Ummu Kultsum, puteri Rasulullah SAW, dan kewafatan salah seorang isteri Baginda, Hafsah binti Umar Ibn Khattab RA.

 

Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam bulan Syaaban ini. Marilah kita memperbaiki diri dengan melakukan kebaikan yang bermanfaat untuk diri sendiri dan umat Islam. Semoga segala amalan dan usaha kita diterima oleh Allah SWT.

 

Share this article :
Facebook
WhatsApp
Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

INFO TERKINI
Ahmad Arif Safwan Tamat Hafazan 30 Juzuk dalam Tempoh 1 Tahun 10 Bulan
02 Nov

Ahmad Arif Safwan Tamat Hafazan 30 Juzuk dalam Tempoh 1 Tahun 10 Bulan

SUNGAI PETANI, 2 November 2026 — Alhamdulillah, Ahmad Arif Safwan bin Razman berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran di Akademi

Apabila Allah Menempatkan Kita di Tempat yang Terbaik
28 Oct

Apabila Allah Menempatkan Kita di Tempat yang Terbaik

Dalam kehidupan, kita mungkin berpindah rumah, memulakan pekerjaan baharu atau memasuki suasana yang belum pernah dilalui. Pada saat seperti ini,

𝐒𝐲𝐮𝐤𝐮𝐫 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐤𝐞𝐡𝐢𝐝𝐮𝐩𝐚𝐧
20 Oct

𝐒𝐲𝐮𝐤𝐮𝐫 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐤𝐞𝐡𝐢𝐝𝐮𝐩𝐚𝐧

Pernahkah kita terfikir, mengapa hati masih berasa kekurangan walaupun pelbagai nikmat telah Allah kurniakan? Kita memiliki tempat berteduh, makanan untuk

Doa Memohon Perlindungan Daripada Ujian Berat dan Musibah
07 Oct

Doa Memohon Perlindungan Daripada Ujian Berat dan Musibah

Ada Ujian yang Kita Tak Mampu Hadapi Sendirian Kadang-kadang kita rasa hidup sedang baik-baik sahaja. Kerja berjalan seperti biasa, keluarga

Solat Jangan Tinggal: Pesanan Buat Rider Muslim
23 Sep

Solat Jangan Tinggal: Pesanan Buat Rider Muslim

Ride Jauh, Solat Tetap Dijaga Perjalanan kita mungkin jauh. Ada kalanya beratus-ratus kilometer bersama sahabat. Sebelum ride, kita periksa tayar,

Doa Pagari Anak: Mohon Perlindungan Allah Daripada Gangguan Syaitan
14 Sep

Doa Pagari Anak: Mohon Perlindungan Allah Daripada Gangguan Syaitan

Anak-anak adalah amanah daripada Allah SWT. Sebagai ibu bapa, kita berusaha menjaga makan minum, kesihatan, pendidikan dan keselamatan mereka. Namun,

FOLLOW & SUBSCRIBE