𝑨𝒅𝒂𝒃 𝑩𝒆𝒓𝒉𝒂𝒓𝒊 𝑹𝒂𝒚𝒂 𝒅𝒂𝒍𝒂𝒎 𝑰𝒔𝒍𝒂𝒎

Pertamanya, ucapan selamat Hari Raya, وَكُلُّ عَامْ وَأَنْتُمْ بِخَيْر تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ dan semoga Allah ﷻ  menatijahkan kita dengan taqwa dan seterusnya kita dapat menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat hidayah yang Allah ﷻ kurniakan kepada kita sehingga ketika nafas kita masih lagi diberi peluang untuk hidup.

 

Bersempena dengan hari raya ini, kami kemukakan Bayan Linnas yang bertajuk Adab Berhari Raya untuk sama-sama memimpin dan memandu perjalanan kita agar sentiasa diberkati dan diredhai Allah ﷻ sekalipun dalam masa kita seronok dan bergembira dengan hari raya. Adab Pada Hari Raya, seperti Ramadan, Hari Raya juga adalah satu ibadah dan bukan perayaan semata-mata. Berikut adalah perkara-perkara sunat yang boleh dilakukan pada pagi 1 Syawal.

 

Antara adab-adab pada hari raya ialah:

 

  1. Mandi, memakai bau-bauan dan pakaian baru.

 

Mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baru. Sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW dan para sahabatnya iaitu Ibn Umar dan Ali bin Abi Thalib dan lain-lain. Said bin al-Musayyib berkata:

“Sunat-sunat hari raya ada tiga: “Berjalan ke tempat solat, makan sebelum keluar dan mandi.”

 

  1. Bersegera ke Masjid untuk Solat sunat Hari Raya

 

Sunat bersegera ke masjid pada pagi hari raya. Bagi imam solat hari raya pula, sunat baginya datang pada akhir iaitu ketika hendak memulakan solat hari raya sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

 

  1. Bertakbir Hari Raya

 

Takbir Hari Raya salah satu cara untuk menghidupkan malam raya adalah dengan melafazkan takbir raya

aidilfitri.

Sabda Rasulullah: “Barang siapa menghidupkan (dengan ibadah) pada malam dua hari raya kerana mengharap pahala Allah, maka hatinya tidak akan mati di hari semua hati mati.”

 [HR Ibn Majah 1772].

 

Tujuan melaungkan takbir adalah untuk mengagungkan Allah ﷻ pada hari-hari yang kita digalakkan oleh Syarak untuk merayakannya. Serta, inilah syiar dan simbol agama kita yang hendaklah kita sungguh-sungguh meraikannya sebagai tanda komitmen dan kepatuhan kita kepada Tuhan yang Esa.

 

 

  1. Makan sedikit sebelum menunaikan Solat sunat Hari Raya

 

Sunat makan sedikit makanan sebelum pergi bersolat Aidilfitri, manakala Aidiladha pula tidak disunatkan makan dan minum sehingga selesai solat.

 

  1. Berjalan kaki ke masjid dan pulang mengikut jalan yang lain

 

Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain. Hal ini berdasarkan hadis, daripada jabir R.A, katanya:

 

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ يَوْمُ عِيْدٍ خَالَفَ الطَّرِيقَ

Maksudnya: “Nabi SAW melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan balik pada hari raya.

 

  1. Mengucapkan tahniah dan doa diantara satu sama lain

 

Sunat saling mengucapkan tahniah dan doa antara satu sama lain. Hal ini berdasarkan hadis Wasilah yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Aku bertemu Rasulullah SAW pada pagi hari raya, seraya mengucapkan kepada Baginda:

 

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

 

(semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu),

 lalu Baginda menjawab:

 

,تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

(semoga Allah menerima daripada kami dan daripada kamu).

 

Selepas matahari terbit, makruh bagi imam bersolat sunat sebelum solat hari raya, manakala tidak makruh bagi orang lain melakukannya. Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

 

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم خَرَجَ يَوْمَ الْفِطْرِ، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهُمَا وَلَا بَعْدَهُمَا

Maksudnya: “Nabi SAW keluar pada hari Aidilfitri, lalu Baginda bersolat hari raya sebanyak dua rakaat dan tidak melakukan solat yang lain sama ada sebelum atau selepasnya.”

 

  1. Bergembira Pada Hari Raya

 

Menjadi kelaziman seluruh dunia umat Islam akan bergembira dengan kedatangan Aidilfitri setelah sebulan bermujahadah melaksanakan amalan wajib dan sunat. Malah hukum bergembira dan cara yang sepatutnya dilakukan telahpun Ulama membahaskan dengan panjang lebar berkenaan dengan hiburan dan permainan yang diharuskan oleh syarak. Bermain dan berhibur dengan hiburan yang disyarakkan adalah diharuskan bahkan digalakkan khasnya pada hari raya.

 

Secara umumnya, selagi mana sesuatu permainan itu tidak melalaikan dari kewajipan tugas yang perlu dilaksanakan ianya diharuskan. Ini adalah syarat umum yang mesti dipatuhi ketika bermain sesuatu permainan atau berhibur.

 

Syarat yang lain, permainan itu hendaklah tidak menjurus kepada maksiat atau bercampur aduk dengan perkara mungkar seperti minum arak, perjudian, percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan bermain sehingga berlaku perkelahian dan pergaduhan.

 

Jikalau permainan atau hiburan itu tidak menepati syarat-syarat yang dikemukakan, maka hukumnya menjadi haram walaupun asal permainan atau hiburan tersebut hukumnya harus. Pada zaman Nabi SAW, masyarakat pada ketika itu bermain, memukul gendang, menyanyi serta menyambut sesuatu perayaan.

 

Saidatina Aisyah R.Anha menyatakan:

 

“Orang Habsyah bermain di sisi Nabi SAW ketika hari raya. Maka aku pun muncul dari atas bahunya dan melihat mereka sedang bermain sehingga aku merasa puas dan kemudian beredar (dari situ).”

Riwayat Ahmad

 

Dalam riwayat yang lain Saidatina Aisyah R.Anha berkata: “Abu Bakar telah masuk kepada kami pada hari raya dan ketika itu kami bersama dengan dua orang hamba perempuan yang menyebut tentang hari Bu’ath iaitu hari berlakunya peperangan antara kaum Aus dan Khazraj.”

 

Lantas Abu Bakar berkata: “Wahai hamba Allah! Mengapakah ada Mizmar Syaitan ini (iaitu alat muzik yang menyerupai seruling)”. Beliau mengulanginya sebanyak tiga kali.

 

Kemudian Nabi SAW bersabda: “Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya setiap kaum ada hari raya masing-masing dan hari ini hari raya kita.”

Riwayat Ibn Hibban

 

Dalam riwayat al-Bukhari juga ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW masuk kepada kami dan berbaring dengan memalingkan wajahnya, sedangkan di sana ada dua orang hamba perempuan sedang menyanyi sempena hari Bu’ath. Maka ketika itu Abu Bakar masuk dan berkata:

 

“Mengapakah ada mizmar syaitan di sisi Rasulullah?”

 

Sabda Nabi SAW:

“Tinggalkanlah (biarkan) mereka wahai Abu Bakar.”

 

Pada suatu ketika orang Sudan sedang bermain-main dan Rasulullah SAW berkata kepada Aisyah:

 

“Kamu ingin tengok?”

 

Aku (Aisyah) berkata: “Ya.”

 

Lalu Baginda mengangkatku ke belakangnya dengan pipiku bersentuh dengan pipinya, sehinggalah Baginda bersabda: “Sudah cukup.”

 

Maka Aku berkata: “Ya.”

 

Sabda Nabi SAW: “(Kalau begitu) Beredarlah.”

 

Pada hari raya itu, Rasulullah SAW bersabda: “Ini supaya golongan Yahudi mengetahui bahawa agama kita ada kelulusan (keringanan)dan sesungguhnya aku diutuskan dengan penuh toleransi dan keringanan.”

Riwayat al-Bukhari

 

Oleh itu, marilah kita menyambut hari raya Aidilfitri dengan mematuhi adab-adab yang diperintahkan oleh Islam. Janganlah di hari raya dipenuhi dengan pembaziran dan hiburan yang melampau. Sebenarnya sebarang hiburan adalah dibolehkan tetapi mestilah mengikut tatacara yang telah ditetapkan oleh Islam.

 

Ibn Rajab al-Hanbali menyebut di dalam kitabnya Lataif al-Minan:

“Bukanlah hari raya itu kamu (hanya) memakai baju baru tetapi hari raya itu bagi mereka yang bertambah ketaatannya kepada Allah.”

 

Berdasarkan kepada syariat Islamiah melalui sunnah Nabawiah, jelas menunjukkan kepada kita betapa umat Islam pada saat kegembiraan dan kemenangan selepas melepasi ibadat puasa dan amalan sunat pada bulan Ramadan dengan jayanya. Setelah sebulan segala mujahadah dan kesungguhan ibadah dipamerkan, maka kurniaan Tuhan kepada kita dengan kedatangan Syawal sebagai petanda kemenangan yang benar-benar iltizam dan istiqamah dengan ibadat. Walaupun begitu, kemenangan dan kejayaan hendaklah diisi dengan penuh kesyukuran dengan bertakbir memuji memuja Ilahi di samping mempereratkan silaturrahim dengan meneguhkan ukhuwwah Islamiah.

 

Dalam hal ini, kita diajar untuk melaksanakan dua jalinan yang kukuh iaitu hablum min Allah dan hablum min annas. Apabila tautan ini kukuh, sudah pasti banyak natijah yang baik dan keharmonian masyarakat pasti dapat dikecapi. Natijahnya, dosa para hamba terampun, keluarga menjadi bahagia sehingga layak ditabalkan baiti jannati, masyarakat menjadi harmoni, dan hubungan sesama mereka utuh tanpa sebarang wasangka. Lebih besar daripada itu, negara atau negeri yang didiami layak ditabalkan sebagai Baldatun Toyyibatun wa Robbun Ghafur.

 

Selamat Hari Raya,

Minal ‘aidin wal faizin,

وَكُلُّ عَامْ وَأَنْتُمْ بِخَيْر

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

 

Rujukan

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan – BAYAN LINNAS SIRI KE-23: ADAB BERHARI RAYA DAN KESILAPANNYA. (n.d.). https://muftiwp.gov.my/ms/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/1814-bayan-linnas-adab-berhari-raya-dan-kesilapannya

Share this article :
Facebook
WhatsApp
Telegram

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

INFO TERKINI
Lawatan Kerja JPN Kedah & PPD Kuala Muda ke Akademi Darul Ilmi Sungai Layar
15 Jan

Lawatan Kerja JPN Kedah & PPD Kuala Muda ke Akademi Darul Ilmi Sungai Layar

Sungai Layar – Akademi Darul Ilmi (ADI) telah menerima lawatan kerja daripada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK) bersama Pejabat Pendidikan

KEJAYAAN BERGANDA: Pelajar Akademi Darul Ilmi Mengungguli Festival Tahfiz Al-Bahiyyah (FESTAB 2.0)
07 Jan

KEJAYAAN BERGANDA: Pelajar Akademi Darul Ilmi Mengungguli Festival Tahfiz Al-Bahiyyah (FESTAB 2.0)

Sungai Petani – Segala puji bagi Allah, warga Akademi Darul Ilmi (ADI) hari ini dihujani rasa syukur dan bangga atas

Mukhayyam Perdana 2025: Membentuk Jati Diri dan Kepimpinan Pelajar di Sedim Warisan Desa
05 Jan

Mukhayyam Perdana 2025: Membentuk Jati Diri dan Kepimpinan Pelajar di Sedim Warisan Desa

SUNGAI PETANI – Mengawali tahun baru dengan semangat juang yang tinggi, seramai 47 orang pelajar telah berjaya menamatkan program Mukhayyam

Warga Legasi UWA Perkasa Konsep Ibadah dalam Kerjaya
30 Dec

Warga Legasi UWA Perkasa Konsep Ibadah dalam Kerjaya

SUNGAI PETANI, 18 Disember 2025 – Legasi UWA telah berjaya menganjurkan Bengkel Integriti dan Ibadah dalam Bekerja. Program ini berlangsung

FOLLOW & SUBSCRIBE